Kandungan Akta 355 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965

Akta ini hanya mengandungi 3 seksyen.

Seksyen 1 menyatakan tajuk ringkas Akta ini dan menyatakan bahawa pemakaian Akta ini adalah terpakai di seluruh Malaysia.

Seksyen 2 menyatakan seperti berikut:

“Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis:

Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.”

Seksyen 3 menyatakan seperti berikut:

"Segala kesalahan di bawah hukum Syarak yang sebelum mula berkuatkuasanya Akta ini berhubungan dengan Negeri-Negeri di Semenanjung Malaysia dan yang sebelum mula berkuatkuasanya Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) (Pindaan dan Perluasan) 1989 berhubungan dengan Negeri-Negeri Sabah dan Sarawak telah dibicarakan oleh mana-mana Mahkamah yang disebut terdahulu hendaklah disifatkan telah dibicarakan dengan sah seolah-olah bidang kuasa yang berkenaan dengannya telah diberi kepada Mahkamah-Mahkamah tersebut oleh undang-undang Persekutuan."[1]